Monday, 13 August 2012

JANGAN PANDANG, JALAN TERUS

Assalamualaikum...
Sebelum ini, saya pernah menegur kelompok masyarakat yang tidak mahu bekerjasama menjayakan program-program kebajikan, secara halus dan berhemah. Begitupun, saya dihentam, dikeronyok dan dilabel bermacam gelaran. Hakikatnya, mereka tidak boleh ditegur dan tidak boleh dinasihat, walaupun teguran itu betul dan perlu difikirkan. Umumnya, mereka lebih suka dipuji-puji, diberi penghargaan dan sebagainya yang indah-indah, walau yang dilakukan tidaklah seberapa. 

Saya takut untuk menegur lagi? Oh tidak! Selagi masyarakat nampak pincang, selagi itulah saya akan menegurnya. Malah, saya menegur bukan tidak berbuat apa-apa, tetapi menegur kerana saya telah membuatnya terlebih dahulu.

Pada 12.08.2012 dan awal pagi 13.08.2012, sekumpulan pemuda menjalankan operasi memasang bendera, bendera Jalur Gemilang, bendera UMNO dan bendera BN di sepanjang Jalan Salak ini. Bagus, tujuannya murni. Tahniah kepada saudara-saudara pemuda ini kerana sudi meluangkan masa dan tenaga melakukannya. Anda semua mempunyai daya patriotik yang tinggi.

Pada siang 13.08.2012, saya pun bergeraklah melihat hasil kumpulan pemuda ini. Berkibar megah semua bendera. Tapi malang, cara pemasangan bendera berterabur, tidak tersusun, dan menyakitkan mata memandang. Pasang ikut suka dan ikut cepant nak siap. Sepanjang Jalan Salak yang indah, nampak menyemakkan. Ada berdera yang telah jatuh ke tanah. Terasa hati amat kecewa melihat semua ini.  Mungkin bukan saya seorang sahaja yang berpandangan begini, tapi ramai lagi. Cuma tidak berani meluahkan, menegur dan menasihati.

Alangkah baiknya, jika pemasangan bendera itu dilakukan secara teratur dan kukuh. Pasang pada tiang yang berlampu dengan darjah condong yang sekata. Biarlah hanya dapat pasang 20 bendera dalam satu masa, tapi hasilnya memuaskan semua yang melihat. Sudah tentu setinggi gunung penghargaan diterima. Penat lelah kerja sukarela akan berbaloi.

Di sini, ingin saya utarakan, jika ada bekalan bendera untuk dipasang lagi, rancanglah dengan teliti. Lakukanlah dengan cara yang terbaik. Bendera adalah panji. Panji perlu dihormati. Gugur panji ke bumi, melambangkan kelemahan gerombolan. Mohon maaf dari saya kerana menegur lagi.

Wassalam.